SEREMBAN – Seorang pengembala kambing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menangkap dan menyimpan seekor harimau kumbang spesies Panthera Pardus dalam kebun getah di Batu Kikir, Kuala Pilah pada Mac lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Mohd. Firdaus Mohd. Lani, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Firdaus didapati menyimpan seekor harimau kumbang (Panthera Pardus) di dalam sangkar kecil yang boleh menyebabkan kesakitan terhadap hidupan liar tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di dalam kebun getah Kampung Terentang, Batu Kikir di Kuala Pilah pada lebih kurang pukul 4 petang, 27 Mac lalu.
Sehubungan itu, pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Firdaus didakwa menangkap seekor harimau kumbang (Panthera Pardus) untuk melindungi haiwan ternakan dan dengan kelengahan telah gagal untuk melaporkan kejadian itu kepada mana-mana Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia termasuk spesies hidupan liar dan ternakan di lokasi dan masa yang sama.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 54(3) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 54(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE