fbpx

Pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus ketuai kerajaan interim Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Yunus diminta oleh kumpulan pelajar untuk mengetuai kerajaan interim. – Getty Images

DHAKA – Pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus bersetuju menjadi ketua penasihat kerajaan interim di Bangladesh, demikian menurut pengesahan Pejabat Presiden seperti dilaporkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Keputusan itu dibuat pada pertemuan antara Presiden Mohammed Shahabuddin, pemimpin tentera, dan ketua kumpulan Pelajar Menentang Diskriminasi, kata pejabat tersebut.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina digulingkan dan melarikan diri dari negara itu, berikutan protes diketuai pelajar selama berminggu-minggu yang membawa kepada pergolakan maut.

Pemimpin pelajar menjelaskan bahawa mereka tidak akan menerima kerajaan yang dipimpin oleh tentera serta mendesak Muhammad Yunus untuk mengetuai pentadbiran sementara.

Muhammad Yunus, yang bersetuju untuk mengambil peranan itu, berkata: “Apabila pelajar yang berkorban begitu banyak meminta saya untuk mengambil bahagian dalam masa yang sukar ini, bagaimana saya boleh menolak?”

Beliau dilaporkan akan kembali ke Dhaka dari Paris, di mana beliau menjalani prosedur perubatan kecil, demikian menurut jurucakapnya.

“Presiden meminta rakyat membantu mengatasi krisis ini. Pembentukan kerajaan sementara yang cepat adalah perlu untuk kita mengatasi krisis,” kata Pejabat Presiden dalam satu kenyataan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI