PUTRAJAYA – Seorang bekas jaga terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan penjara 38 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim pada 2011.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan Syahmie Hassan, 32, untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah turut memerintahkan banduan akhir itu dikenakan 12 sebatan dengan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkapan pada 4 Ogos 2011.
Hakim Harmindar berkata, selepas memberi pertimbangan teliti dan berhati-hati, panel itu berpuas hati kes tersebut ‘bukan luar biasa’ yang mewajarkan mahkamah mengekalkan hukuman mati.
“Mahkamah mengambil kira usianya yang terlalu muda iaitu 20 tahun ketika melakukan perbuatan tersebut,” ujar beliau.
Syahmie disabitkan membunuh mangsa berusia 38 tahun di pangsapurinya di Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View, Ulu Kinta, Perak antara 6 petang dan 7.30 malam, 3 Ogos 2011.
Bukti menunjukkan Syahmie memecah masuk pangsapuri Rohani dengan niat untuk mencuri. Apabila gagal menjumpai barang berharga, lelaki itu menunggu kepulangan wanita tersebut.
Ketika berlaku pergelutan, Rohani menggigit jari penyerang dan sebagai tindak balas, lelaki itu menolaknya hingga terjatuh dan kepalanya terhantuk pada meja. Apabila mendapati mangsa masih hidup, tertuduh menjerut wanita itu dengan kain langsir sehingga tidak lagi bernyawa. – KOSMO! ONLINE