MELAKA – Seorang pemandu mabuk dicekup orang ramai selepas cuba melarikan diri setelah berlanggar dengan sebuah motosikal ditunggang dua pelajar sekolah di lampu isyarat Cheng Height, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kedua-dua pelajar terbabit yang berusia 17 tahun bagaimanapun hanya mengalami luka-luka di bahagian kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Tun Hj Abdul Malik di Cheng menuju ke Krubong.
“Penunggang ketika itu ingin menghantar rakannya pulang ke rumah di Krubong, namun setiba di lokasi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza telah mengubah laluan secara mengejut lalu berlanggar dengan motosikal mangsa.
“Alza itu bagaimanapun terus beredar dari lokasi kemalangan menyebabkan orang awam mengejar dan menahan pemandu berusia 25 tahun itu berdekatan sebuah kedai makan di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Bachang sejauh kira-kira empat kilometer,” katanya hari ini.
Tambahnya, lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Malim dan tindakan lanjut dilakukan oleh Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mendapati pemandu berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol.
“Hasil keputusan ujian tersebut adalah positif. Ujian SD2+ 280 mL/100mL/Ujian Hembusan Pertama 170mg/100mL /Ujian Hembusan Kedua 172mg/100mL.
“Pemandu itu telah ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah dan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Melaka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE