fbpx

Olimpik Paris: Keyakinan Zii Jia sudah kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAT MENG (kanan) mengakui Zii Jia memperlihatkan kekuatan mental yang lebih baik sebelum ke Paris lagi sekali gus membolehkannya maraih pingat gangsa. - OCM

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dianggap sudah kembali mendapatkan keyakinan serta kekuatan mental sehingga membantunya memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatih bekas juara Asia itu, Wong Tat Meng mendedahkan, anak buahnya sudah menunjukkan perkembangan tersebut sebelum temasya sukan terbesar dunia berkenaan membuka tirainya 27 Ogos lalu.

Bekas pengendali perseorangan wanita Korea Selatan itu mengakui gembira dengan kebangkitan ditampilkan Zii Jia, terutamanya ketika meraih gangsa selepas kecewa tersingkir di pusingan separuh akhir.

“Dia menunjukkan kebangkitan yang cukup baik pada kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, lebih-lebih lagi selepas mengalami kekalahan di separuh akhir. Secara jujur, saya gembira kerana dia segera bangkit.

“Anda juga boleh lihat prestasinya semakin meningkat pada kejohanan-kejohanan yang disertai sebelum ini hingga sekarang (Olimpik),” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Isnin lalu, Zii Jia memastikan pingat gangsa pada penampilan keduanya di Olimpik selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen menerusi kemenangan tiga set 13-21, 21-16, 21-11 dalam tempoh 71 minit.

Terdahulu, pemain Alor Setar, Kedah itu kempunan untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas tewas kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di pusingan separuh akhir.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, Zii Jia sudah pun memiliki perancangan rapi sehingga penghujung tahun ini dengan aksi terdekat pada kejohanan Terbuka Jepun yang bermula 20 hingga 25 Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI