PARIS – Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Gabrielle Thomas membuktikan keputusannya terus bertahan dan tidak berhenti daripada sukan olahraga berbaloi apabila menuai hasil lumayan menjuarai acara 200 meter (m) Sukan Olimpik Paris 2024.
Thomas yang lebih dikenali sebagai Gabby, pernah terdetik mahu berhenti daripada sukan olahraga selepas kecewa sekadar meraih gangsa acara sama sewaktu edisi Olimpik Tokyo 2020 di Jepun tiga tahun lalu.
Selepas mendapat dorongan daripada ibunya, Jennifer Randall, atlet berusia 27 tahun itu kembali memberikan fokus sepenuhnya dan berjaya mencipta masa 21.83 saat (s) pada aksi final di Stade de France, Saint-Denis awal pagi semalam.
“Banyak kali saya terfikir untuk berhenti ketika berlari di kolej. Saya beritahu ejen bahawa saya sudah selesai berlari secara profesional, saya mahu keluar kerana saya nak mengejar perkara lain dalam hidup.
“Banyak mata memerhatikan dalam setiap perlumbaan saya sertai. Ia memberi tekanan cukup besar dan saya perlu menyesuaikan diri. Itulah yang dilakukan oleh semua atlet terbaik di dunia,” katanya.
Lebih menarik, Gabby berjaya menewaskan ratu pecut baharu Olimpik dari Saint Lucia, Julien Alfred yang sebelum ini menjuarai acara 100m tetapi kini terpaksa berpuas hati menamatkan 200m di tempat kedua dengan masa 22.08s.
Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi atlet AS, Brittany Brown yang melakukan kebangkitan saat akhir untuk menewaskan dua pelari Great Britain, Dina Asher-Smith dan Daryll Neita menerusi penentuan photo-finish dengan catatan 22.10s.
Sebagai rekod, Gabby adalah graduan Universiti Harvard dalam jurusan neurobiologi dan kesihatan global sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Epidemiologi di Pusat Sains Kesihatan, Universiti Texas. – AGENSI