PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sekali lagi mencabar pihak yang mendakwa beliau mencuri duit kerajaan untuk mengemukakan bukti.
Kenyataan bekas pemimpin negara itu dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, sekiranya ia benar, tentu pihak berkenaan mempunyai bukti kerana duit sebanyak itu tidak boleh disembunyikan.
“Oi! Bila lagi? Kata nak tunjuk bukti jika diberi masa dua minggu. Sekarang sudah lebih satu tahun.
“Kalau benar saya curi berbillion ringgit, awak tentu boleh (beri) bukti. Konon ada kotak penuh dengan dokumen-dokumen. Rahsia konon,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada Mei tahun lalu, Anwar telah disaman kerana didakwa memfitnah Mahathir apabila berkata pemimpin Malaysia terdahulu tidak sepatutnya menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan diri atau saudara mereka.
Pada masa sama, Tun Mahathir turut bersetuju untuk memberikan lanjutan masa dua minggu bagi Anwar menjawab saman berkenaan.
Mengulas lanjut, Mahathir secara sinis turut menjemput Anwar untuk bersama-sama pergi ke Switzerland sekiranya beliau menyembunyikan duit di bank negara terbabit.
“Senyap sunyi. Tak sambut jemputan saya. Sebaliknya pergi kacau anak saya. Tunjuk lah mereka bagi berbillion kepada saya.
“Tidak tunjuk sampai sekarang. Yang tahu cakap bohong. Buka mulut bohong. Tunjuklah bukti kalau ada. Saya sedang tunggu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE