PETALING JAYA – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria dimaklumkan tidak menggunakan dana kerajaan untuk perjalanan keluarganya ke Sukan Olimpik 2024 Paris.
MOM dalam kenyataan berkata, semua perbelanjaan untuk keluarganya dibiayai secara peribadi oleh Norza.
Kata MOM, pihaknya dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hanya memudah cara akses bagi memastikan tiada sumber kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, kehadiran keluarga Norza di Sukan Olimpik mematuhi sepenuhnya peraturan IOC dan MOM.
“Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.
“Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka,” katanya.
Dalam pada itu, MOM menegaskan kuota khas itu diperuntukkan kepada pucuk pimpinan mana-mana badan, majlis atau jawatankuasa Olimpik negara masing-masing.
Ia termasuklah bagi mereka yang memegang jawatan seperti Presiden dan Setiausaha Agung, selain Ketua Negara, dan Menteri Sukan.
Tambahnya, kuota itu hanya menyediakan akses ke kawasan VIP dan tidak meliputi akses ke padang permainan (FOP), bilik persalinan, atau tempat penginapan atlet di Perkampungan Sukan.
“Ia menjadikannya tidak praktikal untuk jurulatih atau kakitangan sokongan menggunakan kuota ini kerana ia tidak memberi akses yang diperlukan untuk menyokong atlet secara efektif.
“Disebabkan akses yang terhad, pasukan sokongan kepada mana-mana atlet harus diatur di luar akses IOC,” jelasnya.
Sementara itu, media melaporkan Norza kecewa dengan serangan ke atas keluarganya di media sosial selepas penularan gambar mereka di Sukan Olimpik dengan kad akreditasi khas.
Menurut Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia berkhidmat secara pro-bono (tanpa bayaran) dalam kedua-dua persatuan tersebut.
“Saya tidak menerima sebarang gaji daripada kedua-dua pertubuhan mahupun elaun. Saya ingin membantu membawa kecemerlangan dan kebanggaan kepada negara kita.
“Serangan terhadap keluarga saya ini sama sekali tidak perlu dan keluarga saya tidak perlu melalui sorotan sedemikian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE