fbpx

Northport pecah rekod kendalikan kontena, kargo bulan Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bagi tujuh bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 2,076,148 TEU kontena sejak tujuh bulan pertama tahun ini, naik sebanyak 16.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport)  telah merekodkan kejayaan berganda yang pertama seumpamanya dengan  memecahkan rekod kendalian bulanan untuk kedua-dua segmen perniagaan kontena dan kargo konvensionalnya pada Julai 2024.

Northport telah mengendalikan jumlah kontena bulanan tertinggi sebanyak 354,548 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh kaki), mengatasi rekod sebelumnya, 335,361 TEU yang dicatat hanya dua bulan lalu iaitu pada Mei 2024. 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, bagi segmen perniagaan kargo konvensional, syarikat mencatatkan prestasi bulanan tertingginya dengan pengendalian sejumlah 1,143,318 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,129,145 FWT yang dicatatkan pada Oktober 2023.

“Kejayaan berterusan dalam memecahkan rekod prestasi kami adalah manifestasi daya tahan dan kebolehsuaian Northport dalam menghadapi cabaran global. 

“Situasi geopolitik yang berlanjutan terus memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa dan kami telah meletakkan diri sebagai alternatif yang boleh dipercayai untuk syarikat perkapalan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

 Azman Shah menjelaskan, prestasi pecah rekod  bulan Julai itu boleh dikaitkan dengan beberapa faktor dan antaranya adalah peningkatan dalam singgahan kapal ad-hoc, yang mana Northport telah mengendalikan sejumlah 159 singgahan ad-hoc tahun ini. 

Tambah beliau, dengan bermulanya perkhidmatan perkapalan baharu beberapa bulan kebelakangan ini serta produktiviti tinggi yang konsisten hasil daripada pelaburan infrastruktur yang lebih baik,  telah  menyumbang kepada pengendalian kontena dan kargo yang lebih tinggi.

Bagi tujuh bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 2,076,148 TEU kontena, iaitu peningkatan ketara sebanyak 16.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Dalam segmen perniagaan kargo konvensional, Northport telah mengendalikan 7,029,007 FWT setakat ini, iaitu pertumbuhan 10.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. 

Pencapaian ini meletakkan syarikat pada landasan yang kukuh untuk berpotensi melepasi pengendalian kontena tahunan tertinggi sepanjang masa sebanyak 3,324,364 TEU yang dikendalikan pada tahun 2021 dan rekod pengendalian kargo konvensional tertinggi sebanyak 11,405,312 FWT yang dicatatkan pada tahun 2023.

“Pencapaian terbaharu ini adalah bukti kerja keras dan dedikasi seluruh pasukan kami, serta kepercayaan dan sokongan berterusan daripada rakan-rakan kongsi dan para pelanggan kami.

“Kami akan terus komited  meningkatkan keupayaan dan perkhidmatan kami bagi memenuhi permintaan dan keperluan industri perkapalan yang semakin meningkat,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI