fbpx

MSAM 2024 tawar hadiah bernilai RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil rakan korporat MSAM 2024 bergambar di SCCC, Shah Alam semalam. – AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) tahun ini kembali berlangsung meriah dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai RM1 juta termasuk sebuah pangsapuri servis.

Karnival literasi kewangan perdana anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu bakal berlangsung empat hari di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini bermula 22 Ogos ini.

Hadiah utama yang ditawarkan kepada pengunjung bertuah antaranya adalah sebuah unit pangsapuri servis Serasi Residences di Putra Heights dan tiga kereta iaitu BYD Dolphin Stan­dard, Perodua Axia 1.0L AV dan Perodua Ativa 1.0L Turbo AV.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya komited meneruskan pelaburan sosial dalam pendidikan, peningkatan komuniti, literasi kewangan, dan inisia­tif perkongsian ilmu.

Jelas beliau, MSAM menjadi sebahagian daripada komitmen tidak berbelah bahagi kepada pemegang unit dan negara sejak 23 tahun lalu.

“Tahun ini, kami membawa tema ‘Kukuhkan hidup anda di MSAM’ selaras matlamat untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

“Elemen pendidikan kewangan dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) menjadi tumpuan kami dalam memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menuntut ilmu,” katanya ketika berucap merasmikan majlis jalinan Rakan Korporat MSAM di SCCC hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Pada majlis itu, PNB mengumumkan rakan korporat bagi penganjuran acara berkenaan iaitu Maybank, SD Guthrie Berhad, Sime Darby Berhad dan S P Setia Berhad

Selain itu, ia melibatkan kerjasama Sime Darby Property Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd (Perodua), MNRB Holdings Berhad, Duopharma Biotech Berhad dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

Penganjuran MSAM sehingga 25 Ogos itu menyediakan lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan dan melibatkan pengunjung bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.

Selain aktiviti celik kewangan dan perkongsian ilmu, beberapa program unik seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto disediakan kepada pengunjung.

Kumpulan PNB juga akan menjalankan program literasi kewangan lain seperti Sembang-Sembang ASNB, Kuiz Pelaburan dan Kelab Pelaburan Bijak PNB dan Fiesta Labur PNB @ Home.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri akan mempamerkan aktiviti serta pameran pendidikan pelaburan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI