PETALING JAYA – Semua kos pembiayaan untuk delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 adalah di bawah tanggungan majlis itu sendiri.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan berkata, kos pembiayaan bagi tetamu MOM pula ditanggung oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan.
“MSN hanya bertanggungjawab membiayai kos perbelanjaan membabitkan atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House untuk temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis,” katanya hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan kritikan yang dibuat ke atas Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria berhubung penularan gambar keluarganya di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.
Terdahulu, MOM dalam kenyataan memaklumkan bahawa Norza tidak menggunakan dana kerajaan untuk perjalanan keluarganya ke temasya tersebut.
Menurut MOM, semua perbelanjaan untuk keluarganya dibiayai secara peribadi oleh Norza. – KOSMO! ONLINE