fbpx

Masih tiada petunjuk di mana Siti Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI AISHAH

PONTIAN – Seorang wanita dilaporkan keluar dari rumahnya sehingga tidak dapat dikesan oleh ahli keluarganya sejak dua bulan lalu.

Siti Aishah Sahamin, 49, dikatakan menghilangkan diri sejak 11 Jun lalu dari kediamannya di Kampung Parit Tengah Darat, Benut di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, wanita itu kerap ‘menghilangkan’ diri sebelum ini selepas berselisih faham dengan keluarga namun akan pulang semula tidak lama kemudian.

“Mangsa Orang Hilang (OH) dipercayai lari mungkin sebab ada masalah keluarga. Maklumat terbaharu yang diterima anaknya mengatakan ibu mereka kini berada di Singapura, tetapi tidak diketahui bila dia memasuki negara berkenaan dan dengan siapa?

“Anggota Balai Polis Benut akan ke Pejabat Imigresen bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara ini kerana Siti Aishah tidak mempunyai pasport antarabangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohammad Shofee memberitahu, kerana bimbang akan keselamatan Siti Aishah, ahli keluarganya kemudian membuat laporan di Balai Polis Benut pada 4 Ogos lalu.

Telefon bimbit milik Siti Aishah juga ditutup menyebabkan pihak polis tidak dapat mengesan kedudukan wanita tersebut.

Orang ramai yang mengenali Siti Aishah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Norazli Saleh di talian 019-7475485 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian menerusi  07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI