PETALING JAYA – Sepasang suami isteri dan tiga anak mereka terpaksa menumpang teduh di pondok selepas diusir keluar dari bilik sewa oleh tuan rumah sejak seminggu lalu.
Lima beranak tersebut kemudian berjaya dijejaki Skuad Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menemui mereka pada 1 Ogos lalu pukul 12.30 tengah hari di Jalan Air Keroh, Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran Facebook Baitulmal MAIWP, difahamkan si bapa tersebut membayar duit sewa kepada rakannya yang didakwa bertindak sebagai pihak ketiga.
“Menurut si suami ini dia tidak menyangka duit sewa yang dibayar setiap bulan itu kepada rakannya yang bertindak sebagai pihak ketiga tidak diserahkan kepada tuan rumah sejak sekian lama.
“Ketua keluarga ini bertindak keluar dari bilik sewa tersebut tanpa enggan menyulitkan perkara ini kepada lebih serius.
“Sungguhpun mempunyai keluarga yang tinggal berdekatan, namun mereka nekad untuk tidak menyusahkan keluarga masing-masing,” kata hantaran itu.
Lelaki tersebut turut meluahkan kebimbangan apabila perlu menyediakan deposit dan sewa bulanan akan datang.
“Ini memandangkan perniagaan burger diusahakan di tempat pondok yang sama merosot sejak kebelakangan ini.
“Skuad meminta si suami mencari rumah untuk disewa dengan kadar segera, sementara deposit dan sewa bulanan rumah tersebut akan dibantu MAIWP selain bantuan sara hidup akan turut diberikan perhatian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE