fbpx

Kes culik Omar ZM Albelbaisy ke Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian tertuduh-tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada prosiding Februari lalu.

PUTRAJAYA – Kes 12 lelaki dan seorang wanita yang didakwa menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmad Fauzi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

“Menurut Perkara 145 Akta Perlembagaan, pendakwaan mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk menjalankan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tentera.

“Dengan peruntukan tersebut, pendakwaan dengan budi bicaranya boleh meneruskan kes ini di Mahkamah Tinggi. Selain itu, di bawah Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah, pendakwaan mendakwa tiada sebab untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen.

“Oleh itu, rayuan pendakwaan dibenarkan dan kes ini akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah juga menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Pada Oktober 2022, 13 individu didakwa secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 44; Mohamad Norakmal Hassan, 45; Dody Junaidi, 46; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 43; Mohamad Naziree Mustapha, 43; Faizull Hardey Mohd Isa, 44; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 29; Mohamad Sufian Saly, 27; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 25; Nidarahayu Zainal, 38; dan Raibafie Amdan, 43; Mohd Zaidi Mohd Zain, 58; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 53.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022 di Jalan Mayang di sini dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI