KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan meluluskan sebanyak 48 permohonan penerokaan tanah hutan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, jumlah itu tidak sebanyak 54 permohonan seperti yang dibangkitkan oleh Barisan Nasional (BN) Gua Musang semalam.
Menurutnya, isu tersebut tidak tepat dan segala permohonan projek berkait pembangunan ladang itu dibuat mengikut prosedur termasuk proses Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
“Syarikat yang dipilih untuk mengendalikan projek itu cukup berwibawa dan mampu untuk melaksanakan.
“Kerajaan negeri memberi kelulusan itu kepada syarikat yang layak mengikut prosedur yang ditetapkan berkait penerokaan dan bukan boleh teroka secara haram,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri mengingatkan BN supaya membuat semakan sebelum membuat tuduhan secara melulu.
Mohamed Fadzli berkata, Kelantan meluluskan lebih 85,000 permohonan rakyat untuk mendapatkan tanah-tanah kerajaan sejak Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 1990.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, sebanyak 54 kelulusan meliputi lebih 13,000 hektar penerokaan tanah hutan baharu di kawasan DUN Nenggiri dikatakan dibuat sejak dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE