ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menempelak persepsi sesetengah pihak yang kononnya kerajaan negeri berkira-kira daripada segi kewangan untuk menghantar atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak.
Menurut Muhammad Sanusi, kerajaan negeri berbelanja besar untuk menyediakan semua persiapan atlet bagi membolehkan mereka berkampung di negeri itu untuk acara yang bermula 17 Ogos ini.
“Depa ini serius sangat kan? Ada yang kita melawak, dia kata serius, kita serius depa kata melawak. Kedah adalah kontinjen negeri yang pertama menyelesaikan urusan tiket penerbangan dan saya periksa dengan ejen pelancongan, negeri lain pun ada yang tidak selesai.
“Tak lah sampai tak ada duit nak pergi kan. Tadi saya sebut ganjaran ‘on the spot’, kalau menang pingat emas ‘on the spot’ bagi RM1,000 untuk atlet. Bila balik sini dapat RM3,000 lagi, jadi RM4,000. Kita ada peruntukan untuk ganjaran itu.
“Kedah bukan lekeh sangat kan? Kita bagi semangat kepada atlet untuk ke berjuang bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Kedah Ke Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE