PETALING JAYA – Melalui fasa indah hamil zuriat pertama, pelakon Datin Intan Najuwa mendedahkan ibunya, Nafizah Mohd. Sahid kerap menitipkan pesanan agar banyak memperdengarkan zikir kepada bayi dalam kandungan.
Kata Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, insan kesayangannya itu juga selalu mengingatkan supaya selalu mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quran buat bayi tersebut, bukan hanya mengutamakan persediaan kelahiran.
“Pesanan hari ini. Baby dah boleh pasangkan ayat-ayat Quran dekat perut. Biar dia didedahkan dengan zikir, dengar-dengarkan ayat-ayat (al-Quran).
“Jangan asyik dengar zikir mummy dia nak ‘shopping’ sahaja,” tulisnya mengulang titipan pesanan wanita dihormatinya.
Pelakon drama Setelah Ku Dimiliki itu turut berkongsi tangkap layar mesej dengan ibunya dalam Instagram Story.
Sebelum ini, Intan memaklumkan merancang membeli barangan keperluan bagi di London dan Sepanyol, bulan depan.
Sejak berbadan dua pertengahan Julai lalu, peminat teruja mengikuti perkongsian fasa indah melalui detik kehamilan.
Biarpun tidak berkongsi usia kandungan atau tarikh jangkaan bersalin, rata-rata meneka kandungannya kini sudah berada di trimester kedua.
Intan mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos tahun lalu. – KOSMO! ONLINE