fbpx

Hamas pilih Yahya Sinwar, ganti Ismail Haniyeh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yahya Sinwar. - EPA

BANDAR GAZA – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas melantik pemimpin Gaza, Yahya Sinwar sebagai pengganti Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran minggu lalu, lapor saluran berita Channel News Asia semalam.

Sinwar merupakan perancang utama terhadap serangan yang paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad dan bersembunyi di Gaza, manakala percubaan Rejim Zionis untuk membunuhnya sejak permulaan perang gagal.

“Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik kumpulan ini, menggantikan Ismail yang syahid,” kata pergerakan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Pelantikan itu dibuat ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan dengan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Allahyarham di Tehran. 

“Pelantikan ini bermakna Israel perlu berdepan dengan Sinwar berhubung penyelesaian kepada perang Gaza.

“Ia adalah mesej mengenai ketabahan dan tanpa kompromi,” kata seorang diplomat serantau. 

Sinwar yang menghabiskan separuh hayatnya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Ismail. 

Ia sekali gus menyebabkan wilayah itu berada di ambang konflik serantau yang lebih luas, selepas Iran berikrar untuk membalas dendam.

Israel mendakwa tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi mengaku membunuh pemimpin kanan lain termasuk Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri yang terbunuh di Beirut dan komander tentera kumpulan itu, Mohammed Deif.

Sinwar, 61, yang dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan 7 Oktober dan berkata Israel akan terus memburunya. – AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI