PETALING JAYA – “Zii Jia selalu datang rumah. Bila dia ada perlawanan, saya akan ajak anak-anak tonton bersama.”
Demikian perkongsian pelakon Hairul Azreen sekali gus mengakui bahawa pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia memang rapat dengan dirinya sekeluarga.
Kata Hairul atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris, anak perempuannya Alisa Aisyah menjadikan atlet berkenaan sebagai idola.
“Masa umur mereka tiga dan empat tahun, mereka tidak faham lagi. Tapi kini, apabila mereka nampak papan iklan, mereka sebut ‘Lee Zii Jia’.
“Kami sudah letakkan dalam diri anak-anak khususnya Alisa bahawa Zii Jia adalah idola,” katanya dalam satu temu bual hari ini.
Mengulas mengenai gelagat Alisa yang melukis gambar Zii Jia ketika bertanding, bintang filem Paskal itu berkata, momen tersebut turut mencetuskan perbalahan kecil dua anaknya termasuk Yusuf Iskandar.
“Lukisan itupun sebenarnya menimbulkan pergaduhan. Yusuf kata Alisa bukan melukis raket tapi kon ais krim.
“Sementara, Alisa kata ‘ini raket, awak kena tahu saya lukis raket ini dengan kasih sayang’,” kongsinya.
Menerusi hantaran berbeza, suami kepada pelakon dan usahawan Hanis Zalikha itu memuat naik foto bersama Zii Jia selain mengucapkan tahniah atas kemenangannya meriah pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik buat kali pertama.
“Kau berjaya Lee Zii Jia, Malaysia boleh!” tulisnya ringkas.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan Zii Jia hadir ke rumah Hairul dan turut menghiburkan Alisa dengan bermain badminton bersama. – KOSMO! ONLINE