LABUAN – Tujuh remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun termasuk tiga masih bersekolah antara individu ditahan polis ekoran aktif mencuri motosikal di sekitar pulau ini.
Kumpulan remaja berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak Jun lalu serta turut disyaki terlibat sekurang-kurangnya empat kes mencuri motosikal pelbagai jenis.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima empat laporan polis mengenai kes kecurian motosikal yang berlaku di tempat yang sama pada 17 Jun hingga 26 Julai lalu.
“Polis menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras dan mengesan semua pelaku terlibat dalam kes ini. Hasilnya pada 14 Julai lalu, di kawasan semak Kampung Bedaun, pasukan khas menemui semula sebuah motosikal yang dilaporkan hilang pada 17 Jun lalu.
“Susulan itu, pasukan polis pada pukul 4.20 pagi 27 Julai lalu menahan dua remaja lelaki serta merampas sebuah motosikal. Hasil semakan mendapati motosikal yang dirampas adalah motosikal yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hamizi berkata, dengan tertangkapnya tujuh remaja lelaki itu, polis berjaya menemui semula dua motosikal lagi yang dilaporkan hilang pada 17 Jun lalu.
“Dua motosikal ditemui semula yang disembunyikan dengan cara dibuang di dalam sungai berhampiran tempat kejadian menerusi bantuan Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) dan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE