PETALING JAYA – Mahu memberi fokus membesarkan dua anaknya, penyanyi Shila Amzah menolak untuk hamil lagi dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, andai diberikan rezeki untuk hamil, Shila, 34, mahu meletakkan jarak selama tiga tahun.
“Saya mahu anak-anak dapat 100 peratus perhatian. Tambahan saya pernah menjalani pembedahan untuk kedua-dua kelahiran.
“Bagi kelahiran seterusnya, saya kena tunggu lagi tiga tahun untuk hamil.
“Dalam masa tiga tahun, umur saya sudah memasuki 37 tahun. Ini sangat berisiko buat saya untuk memiliki anak disebabkan sebelum ini pun lahir secara pembedahan,” katanya dalam InstaStory.
Dalam masa sama, Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah tidak kisah memiliki dua cahaya mata memandangkan kedua-duanya berlainan jantina.
“Jadi, cukuplah sebab sudah ada sepasang,” jelasnya lagi.
Shila berkongsi perkara tersebut selepas seorang peminat mengajukan soalan mengenai hasrat penyanyi asal Kuala Lumpur itu mahu tutup kilang.
Pada 9 Mei lalu, Shila melahirkan anak perempuan yang dinamakan Rhea Akira.
Shila mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh, Ubai pada 4 Ogos 2023.
Terdahulu penyanyi terbabit pernah berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018, namun berakhir dengan perceraian.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE