fbpx

BSN lahirkan 102 ‘jutawan segera’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang Adek (dua kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada kakitangan Cawangan Utama BSN Shah Alam pada majlis tersebut hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Bank Simpanan Nasional (BSN) berjaya melahirkan 102 ‘jutawan segera’ menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) sehingga kini dalam inisiatifnya menggalakkan tabiat menabung di kalangan rakyat negara ini.

Cabutan SSP bermula sejak 2013 memerlukan seorang individu menyimpan pada kadar minimum RM3,000.

Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, BSN SPP ketika ini mempunyai lebih kurang lima juta pendeposit dengan jumlah simpanan bernilai lebih dari RM5 billion setakat Jun tahun ini.

Katanya, bagi tempoh sama terdapat kira-kira 9 juta pelanggan akaun simpanan BSN Giro.

“Kita dapat sambutan dan sokongan yang bagus (bagi tujuan penyimpanan) dari SSP ini yang merupakan inisiatif kita dalam menyemai tabiat menabung. Kita sudah hasilkan 102 jutawan.

“Jadi rugi kalau tidak masuk SSP. Setiap bulan ada jutawan, mana ada bank buat begini dan ini istimewa kerana melambangkan jenama kita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke cawangan utama BSN Shah Alam selain melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat BSN.

Awang Adek memberitahu, BSN turut mengadakan pelbagai program khas untuk pelajar sekolah demi meningkatkan tahap celik kewangan serta memperkasakan simpanan seawal usia bagi mendukung aspirasi kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, komitmen BSN turut diperkukuhkan dan diperluaskan dalam membantu peniaga mikro dengan jumlah pinjaman maksimum RM50,000.

“Kita berjaya mencapai 60 peratus pasaran mikro di seluruh negara dengan yang aktif dengan kita adalah 93,000. Malah, enam bulan pertama telah luluskan lebih 12,000 peminjam mikro.

“Ini adalah satu usaha yang istimewa bagi BSN dalam menjalankan atau melaksanakan mandat kerajaan dalam membantu peniaga-peniaga kecil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI