fbpx

Besarnya tekanan jadi atlet badminton Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atlet-atlet badminton negara lain mungkin tidak memikul beban tekanan sebesar atlet badminton Malaysia yang disasarkan untuk memenuhi hasrat negara raih emas Olimpik pertama sebagai sukan tumpuan sandaran utama, sedangkan negara pesaingnya semua sudah miliki emas dan mampu saja raih emas dari sukan kepakaran lain.

Di saat banyak negara sudah merasa pingat emas Olimpik dan menguasai variasi sukan, sudah tentu mental atlet-atlet mereka kini ‘lebih lapang’ kerana tiada harapan terlalu menggunung yang disandarkan secara individu atau berpasukan oleh negara.

Jiran-jiran kita, Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura, Filipina semua sudah memiliki pingat emas.

Apatah lagi negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun yang sudah berpuluh atau beratus pingat emas dalam pelbagai jenis sukan tentu atlet mereka lebih ‘lapang dada’ dan hanya menumpukan untuk aksi terbaik serta mungkin berdepan ‘tekanan-tekanan kecil’.

Kita sebaliknya begitu mendambakan emas sulung di Olimpik yang membawa erti ‘maruah negara’ sehinggakan Malaysia di ranking ke-4 negara memberi insentif paling tinggi kepada pemenang emas Olimpik. Tak perlu hairanlah kalau negara-negara kuasa besar lain tidak menawarkan ganjaran tinggi kerana ia sudah terluput daripada keutamaan mereka.

Di Malaysia, kita hanya miliki pilihan satu atau dua sukan seperti badminton dan berbasikal yang dilihat paling berpotensi menyumbang emas di Olimpik.

Sejak berdekad lalu, badminton dianggap kepakaran utama negara biarpun persaingan negara-negara lain begitu hebat. Maka, tentulah beban tekanan atlet badminton negara di Olimpik cukup besar.

Kita sebenarnya miliki pebulu tangkis yang handal sejak dahulu lagi bahkan Datuk Lee Chong Wei di eranya no.1 dunia tapi masih belum mampu raih emas Olimpik.

Ini mungkin kerana pergantungan kepada badminton sebagai sandaran utama paling realistik emas barangkali telah mencetuskan ‘tekanan besar tersendiri’ sehingga sedikit sebanyak mengganggu permainan sebenar atlet.

Viktor Axelsen, Kunlavut Vitidsarn mahupun Lakshya Sen barangkali tidak menghadapi tekanan sehebat Lee Zii Jia kerana mereka bukanlah sandaran utama yang membawa seluruh harapan negara untuk meraih emas pertama Olimpik.

Begitu juga, Chen Qingchen-Jia Yifan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida mahupun Baek Hana-Lee Sohee, sudah tentu tekanan mereka tidak ‘seperit’ Pearly Tan-M. Thinaah kerana negara-negara mereka boleh saja menggondol emas daripada banyak sukan lain seperti terjun, judo dan memanah.

Justeru, tidak hairanlah kalau pesaing-pesaing badminton negara lain di Olimpik boleh beraksi lebih baik dan kita sebagai rakyat juga haruslah memahami bebanan atlet-atlet kita di Olimpik kerana mereka menanggung tekanan ‘khas’ yang tidak dirasai atlet negara lain.

Atlet mereka mungkin sekadar menyasarkan untuk membanggakan negara, sebaliknya atlet kita menyasarkan untuk memenuhi hasrat satu negara. Besar bezanya!

Disebabkan harapan terlalu tinggi kepada sukan utama sandaran di Olimpik itu, atlet badminton lazimnya paling sering diserang kritikan, dicari salah dan menjadi bahan sendaan masyarakat yang dihantui kehampaan biarpun adakalanya serangan tersebut lebih kepada emosional berbanding rasional.

Kejayaan Malaysia meraih dua gangsa dalam badminton di Olimpik Paris sekali gus bermakna ‘bertarung sehingga hari terakhir’ suatu yang patut menginsafkan kita bahawa atlet-atlet kita telah pun berjuang sepenuh hati tapi masih belum mampu menggapai emas.

Apapun, perjuangan memburu emas pertama di Sukan Olimpik memang perit, tetapi seperti dibuktikan Filipina, emas-emas lain akan menyusul bila tekanan itu semakin berkurangan.

Moga-moga di sebalik tekanan besar ini, akan ada atlet kita yang mampu membawa pulang emas suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI