PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada tokoh kewartawanan, Datuk Karam Singh Walia yang kini menghidap penyakit hati dan masalah buah pinggang.
Anwar pada hantaran Facebook memaklumkan, Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi mewakili beliau menziarahi Karam Singh semalam, yang juga tokoh kewartawanan alam sekitar serta terkenal dengan penggunaan peribahasa langka.
“Saya dimaklumkan keadaan kesihatan saudara Karam Singh kini membimbangkan selepas beliau menghidap penyakit hati dan masalah buah pinggang.
“Selain berbicara panjang terkait pengalamannya membongkar kebobrokan petualang memusnahkan alam sekitar, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan bagi pihak saya kepada saudara Karam Singh,” katanya hari ini.
Anwar berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban kos perubatan yang ditanggung beliau.
“Saya mendoakan semoga saudara Karam Singh segera sembuh dan dapat mendidik anak-anak muda terkait kepentingan alam sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE