fbpx

[VIDEO] Saman penulis skrip Sekali Lagi Cinta Kembali, Amelia Henderson gagal selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amelia ketika hadir di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kes saman antara penulis skrip drama Sekali Lagi Cinta Kembali Rehal Nuharis atau nama sebenarnya Haironizan Mohd. Idris dengan pelakon Amelia Henderson gagal diselesaikan secara baik melalui proses mediasi hari ini.

Justeru kes saman itu akan diteruskan dengan perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mansheel Kaur yang mewakili Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 29, selaku defendan selepas prosiding kes mediasi itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mazilah Manap di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

“Oleh kerana dalam kes ini, Amelia disaman, dia (Amelia) perlu membela diri,” kata peguam itu.

Sementara itu, Amelia ketika ditanya faktor mediasi hari ini gagal, pelakon itu berkata ia antaranya kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat, tiada persefahaman termasuk syarat-syarat penyelesaian.

“Gagal…(mediasi) jadi kita akan teruskan dengan trial (perbicaraan),” katanya yang hadir pada proses mediasi itu.

Dalam pada itu peguam Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili Haironizan, 37, selaku plaintif berkata kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat antaranya membabitkan syarat-syarat penyelesaian dalam proses mediasi itu.

“Justeru kes saman itu diteruskan dengan perbicaraan yang akan bermula 6 dan 7 Februari 2025 di hadapan Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin.

“Pengurusan kes selanjutnya bagi mengemaskini pemfailan dokumen perbicaraan ditetapkan pada 4 Oktober ini secara dalam talian. Setakat ini, pihak kami akan memanggil dua saksi, namun kemungkinan ada tanbahan saksi dalam prosiding itu nanti,” katanya ketika dihubungi

Mediasi merupakan alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh.

Dalam saman yang difailkan pada 20 September 2023, plaintif mendakwa Amelia telah memuat naik satu siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022, dengan memberi kenyataan yang menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baik plaintif berhubung drama ‘Sekali Lagi Cinta’.

Plaintif mendakwa video tersebut telah memberi gambaran negatif tentang penulisan skrip plaintif dalam drama tersebut yang menyokong keganasan rumah tangga serta misoginis selain komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat defendan itu mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.

Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah tersebut secara lisan, media cetak atau internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk.

Pada tahun lalu, Amelia yang pernah disaman syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. telah membayar ganti rugi nominal RM10,000 terhadap syarikat produksi itu seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Bayaran RM10,000 itu selepas Amelia berjaya dalam rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum itu memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI