PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan akan terus berusaha mengindahkan pembangunan warung, gerai dan restoran agar lebih bersih dan berkualiti di seluruh negara.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bertemu peniaga di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
“Usai Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri, saya singgah di Pusat Penjaja Bandar Sri Permaisuri untuk melihat kawasan persekitaran dan beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung yang sedang menjamu sarapan pagi.
“Persinggahan kira-kira 10 minit itu saya gunakan untuk melihat sendiri keadaan persekitaran dari segi kemudahan infra yang perlu ditambahbaik atau yang telah siap untuk dimanfaatkan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah penambahan atau keluasan kawasan parkir selain penghargaan kepada kerajaan di atas kemudahan bumbung baharu yang lebih selesa sekaligus menarik lebih ramai pengunjung di kawasan tersebut.
Terdahulu, pada Februari lalu Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kios sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara. – KOSMO! ONLINE