KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan cubaan mengedar pelbagai barangan seludup bernilai RM561,417.20 dalam tiga serbuan berbeza pada 16 Julai, 17 Julai dan 22 Julai lalu.
Pengarahnya, Mohd. Asri Seman berkata, keseluruhan rampasan berupa rokok dan daging khinzir sejuk beku itu melibatkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM887,287.72.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 16 Julai lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang telah menemui sebuah lori ditinggalkan di tepi jalan di Taman Sri Mahkota, di sini.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori terbabit, pasukan berjaya menjumpai 1,260,000 batang rokok pelbagai jenis dan jenama bernilai RM100,8000. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori terbabit dianggarkan bernilai RM1,002,480.
“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan semasa kejadian dan kes masih dalam siasatan bagi mengesan pemilik lori dan rangkaian sindiket terlibat untuk tindakan lanjut,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Jalan Besar, di sini hari ini.
Katanya, bagi serbuan yang dilakukan pada 17 Julai pula, pihaknya berjaya merampas 150 ketul daging seberat 6,750 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM135,000 di dalam sebuah lori kontena sejuk beku di kilometer 131 di laluan Jeli-Gerik, Perak.
Beliau memberitahu barangan terbabit dipercayai diambil dari negara Thailand untuk pasaran tempatan dan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori adalah sebanyak RM385,000.
“Dua lelaki berumur lingkungan 30-an yang merupakan pemandu lori berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan pengimportan dan permit mengangkut daging khinzir sejuk beku terbabit serta ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu katanya, dalam serbuan ketiga pada 22 Julai lalu pula, pihak JKDM Pahang sekali lagi berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok selepas manahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 30-an di Kilometer 129 Lebuhraya Kuantan-Segamat di sini.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta terbabit, pasukan berjaya menemui 53,100 batang rokok pelbagai jenis dan jenama disyaki tidak berkastam bernilai RM5,617.20 dengan keseluruhan nilai rampasan termasuk kereta adalah sebanyak RM61,224.92,” katanya. – KOSMO! ONLINE