PETALING JAYA – Selepas rakan seangkatannya Jep Sepahtu mengeluarkan kenyataan tentang mempertikai mengapa namanya disebut dalam sebuah program audio siar, tiba pula giliran Mamat Sepah bersuara.
Mamat atau nama lengkapnya Mohd. Noor Murad, 39, berkongsi potongan lirik lagu seakan-akan kecewa kerana pengorbanan tidak dihargai berserta gambar yang tertera tulisan Maharaja Lawak Mega dalam tulisan jawi.
Katanya, dia lebih senang memilih untuk mendiamkan diri dan enggan mengulas lanjut mengenai kandungan dalam siaran audio siar tersebut.
Mamat juga enggan memberi komen tentang tindakan Jep yang mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran dan dipercayai ditujukan kepadanya dan Shuib.
“Mohon maaf sangat. Saya tiada apa hendak komen tentang podcast (audio siar) itu. Terima kasih,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Semalam Jep atau Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 39, meluahkan rasa tidak puas hati dipercayai melibatkan kandungan dalam sebuah audio siar.
Sebelum ini, nama Jep disebutkan dalam audio siar Dol’s Podcast yang dikendalikan oleh Shuib, Shuk Sahar dan Fizie Roslan bersama artis jemputan Mamat Sepah.
Dalam audio siar tersebut, Mamat berkongsikan kenangan sewaktu kumpulan Sepah menghadiri uji bakat Raja Lawak sehinggalah berjaya bergelar juara bagi musim ketiga program berkenaan. – KOSMO! ONLINE