fbpx

Tarikan terbaharu, Cameron Santorini diroboh, ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OPERASI penguatkuasaan di Cameron Santorini di Cameron Highlands semalam.

CAMERON HIGHLANDS – Tindakan berani pemilik Cameron Santorini melakukan pembinaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan membawa padah apabila tarikan baharu yang menarik di Cameron Hinghlands itu dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Dalam operasi yang dilaksanakan bermula pukul 9 hingga 11.30 pagi semalam itu menyaksikan sebahagian daripada binaan Cameron Santorini dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Operasi diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Azmil Hadid Maznan turut disertai Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Cameron Highlands dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cameron Highlands.

Menurut kenyataan Majlis Daerah Cameron Highlands, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan atas kesalahan Seksyen 70 (1) iaitu pembinaan tanpa kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Semoga tindakan penguatkuasaan ini dapat menjadi iktibar dan peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan agar mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan semasa yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Difahamkan pihak berkuasa terbabit akan mengeluarkan kompaun terhadap pembinaan bangunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa termasuk tiada kebenaran merancang.

Difahamkan juga kawasan berkenaan yang berstatus pertanian disewa daripada pihak Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli berkata, operasi yang dilaksanakan berkenaan berjalan dengan baik dan lancar.

“Tiada kekecohan dan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dan kawasan berkenaan kini ditutup,” ujarnya.

Baru-baru ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang sudah mula ‘dijajah’ pendatang asing secara terang-terangan rentetan kurangnya nilai integriti.

Baginda bertitah, sebagai contoh tanah-tanah di Cameron Highlands yang dipajak dan disewa kepada petani-petani serta pengusaha, kini disewakan pula kepada warga asing.

“Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.

“Lebih mendukacitakan lagi, warga asing tersebut telah mengambil alih peranan sebagai ‘tauke’ yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya,” titah baginda – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI