PETALING JAYA – Sudah hilang kepanasan skandal cinta dan tidak lagi terpalit kontroversi menjatuhkan reputasi, pelakon Sophia Albarakbah tetap menjadi mangsa buli segelintir netizen dalam media sosial.
Hilang punca Sophia, 31, bingung memikirkan apakah kesilapan yang dilakukan sehingga tidak habis-habis dibenci dan dibuli dengan komen-komen kesat menyakitkan hati..
“Sampai sekarang saya masih dibuli dalam media sosial, tidak kiralah buat salah ke tidak, orang tetap lempar kata-kata negatif tanpa saya tahu apa sebabnya.
“Mungkin saya kuat dari luaran tetapi sebenarnya tidak. Saya sudah lalui macam-macam dan sehingga kini masih berusaha supaya perkara itu tidak beri kesan pada diri terutama kesihatan mental.
“Tipulah kalau kata tidak terkesan tapi sentiasa cuba untuk tidak buat perkara yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Tambah bintang filem Miimaland itu, dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang tidak berhenti membulinya dalam media sosial.
“Sebenarnya semua komen-komen itu sudah melampau tetapi saya belum lagi ambil tindakan.
“Namun, kalau masih berterusan, saya akan buat laporan sekiranya itu tindakan yang oatut dilakukan untuk menghentikan semua ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia turut menitip pesanan agar netizen mempunyai rasa empati sebelum memberi sebarang komen terhadap mana-mana pihak dalam media sosial.
Ujarnya, setiap perkataan negatife yang ditinggalkan akan memberi kesan yang buruk kepada emosi dan mental seseorang.
“Saya tak tahu kenapa ada netizen yang berani bertindak (tulis komen negatif), namun apa-apa pun alasan, harap mereka berhenti kerana perkara sebegitu tidak baik pun.
“Buli bukan perkara remeh kerana mampu membawa kepada sesuatu yang lebih serius terutama terhadap kesihatan mental dan kestabilan emosi seseorang.
“Kalau orang mental tak kuat, memang akan beri kesan yang buruk. Boleh jadi akan tertekan dan bunuh diri,” jelasnya yang turut bertemu pakar terapi untuk menangani kemurungan selepas dikecam hebat.
Sebelum ini, nama Sophia menjadi sasaran netizen apabila terpalit dakwaan menjalin cinta lokasi dengan penyanyi, Aliff Aziz. – KOSMO! ONLINE