PETALING JAYA – Sepasang suami isteri serta dua anak mereka terpaksa menumpang tidur di premis dobi 24 jam selain berehat di masjid ekoran tidak mampu untuk menyewa rumah.
Keperitan hidup empat beranak itu diceritakan oleh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi hantaran Facebook hari ini, yang mana mereka bertindak menyelamatkan keluarga tersebut.
Pada hantaran itu, pihak Baitulmal MAIWP memaklumkan telah menemui mereka di Masjid Amru Al As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu pukul 10 pagi.
“Hasil perkongsian aduan awam, Skuad Jejak Asnaf berjaya menemui satu keluarga dikatakan kehilangan tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu dan seringkali menjadikan kedai dobi 24 jam sebagai tempat tidur mereka.
“Puan Husna sebelum ini dikatakan tinggal di Pahang terpaksa menjalani kehidupan jarak jauh dengan si suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur.
“Namun sejak awal November tahun lalu, isteri dan dua anaknya terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut si suami selepas diusir keluar rumah disebabkan tidak mampu menjelaskan tunggakan sewa,” menurut hantaran itu.
Sebaik tiba di Kuala Lumpur, si suami dikatakan gagal menyediakan penginapan memandangkan gaji yang diterimanya tidak seberapa.
“Empat beranak ini tiada pilihan lain selain menjadikan kedai dobi 24 jam sebagai salah satu tempat mereka tidur.
“Apabila siang si ibu akan menjadikan masjid sebagai tempat berehat sementara dua anak tamat sesi persekolahan dan si suami selesai bertugas,” katanya.
Baitulmal MAIWP memaklumkan, keluarga tersebut turut diminta mencari kediaman sewa dengan kadar segera, sementara deposit dan sewa rumah diberikan perhatian oleh MAIWP. – KOSMO! ONLINE