SINGAPURA – Sepuluh hari selepas suaminya yang berusia 61 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung pada akhir 2023, seorang balu mendapati lelaki berkenaan mempunyai isteri kedua yang dikahwini secara rahsia, lapor portal berita asiaone hari ini.
Wanita berusia 55 tahun itu terkejut kerana langsung tidak mengesyaki tentang perkara itu sehingga selepas suaminya meninggal dunia.
“Kami mempunyai masa senang dan susah, sama seperti pasangan lain,” kata balu itu ketika ketika berkongsi pengalamannya selepas membaca laporan mengenai warga Singapura berkahwin di luar negara dan tidak mendaftar dengan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan Islam (ROMM).
Dia dan suaminya berkahwin selama kira-kira 30 tahun dan dikurniakan tiga orang anak.
Balu itu menyedari suaminya berkahwin lain setelah terjumpa gambar dan sijil nikah dari Batam, Indonesia dalam komputernya.
“Rasa macam ada orang tikam belakang saya, sakit hati saya,” kata balu itu.
“Saya telah meneliti pasportnya tetapi tiada cop yang sepadan dengan tarikh pada sijil perkahwinan mereka.
“Kemudian saya mendapat tahu akad nikah dilakukan melalui panggilan video,” ujarnya.
Balu itu cuba menghubungi wanita tersebut tetapi tidak berjaya.
Wanita berkenaan kemudian bertanya sama ada dia perlu membahagikan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) arwah suaminya dengan isteri kedua arwah.
Pendaftar ROMM, Pasuni Maulan menjelaskan bahawa perempuan lain tidak mempunyai hak ke atas aset si mati kerana akad nikah tidak memenuhi kehendak undang-undang syariah dan perkahwinannya tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa. – AGENSI