fbpx

Starmer janjikan tindakan pantas berkas perusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis berdepan penunjuk perasaan berhaluan kanan di Bristol, selatan England pada 3 Ogos lalu. – AFP

LONDON – Perdana Menteri Keir Starmer semalam menjanjikan ‘tangkapan segera’ terhadap rusuhan yang dilakukan kumpulan penunjuk perasaan berhaluan kanan di sebilangan bandar sehingga menyebabkan kerosakan meluas, manakala polis melakukan hampir 400 tangkapan.

Starmer bermesyuarat bersama beberapa menteri dan ketua polis untuk membincangkan rusuhan sejak Selasa lalu itu susulan serangan pisau yang mengorbankan tiga kanak-kanak di Southport, barat laut England.

Orang ramai bertindak membaling bata dan suar, menyerang polis, membakar dan merompak kedai, memecahkan tingkap kereta dan rumah serta membakar sekurang-kurangnya dua hotel yang menempatkan pencari suaka pada hujung minggu lalu.

Kerajaan akan ‘meningkatkan tindakan undang-undang’  untuk memastikan ‘sekatan adalah pantas’, kata Starmer kepada pemberita selepas bermesyuarat semalam.

Beliau berkata, ‘bala tentera’ terdiri daripada pasukan khas polis terlatih bersedia dikerahkan untuk menyokong polus tempatan sekiranya rusuhan berlaku lagi.

Ketegangan tercetus kembali semasa beberapa demonstrasi diadakan di seluruh Britain petang semalam, namun keganasan semakin berkurang berbanding pada hujung minggu lalu.

Saluran berita Sky News menyiarkan rakaman perbalahan antara penunjuk perasaan berhaluan kanan dan kumpulan yang menentang mereka di  bandar Plymouth.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Ketua Polis Negara (NPCC) berkata, seramai  378 orang telah ditangkap setakat ini, manakala sebilangan yang lain akan ‘dihadapkan ke muka pengadilan’.

Sekurang-kurangnya 12 anggota polis  cedera, termasuk seorang yang pengsan  ketika mereka bertempur dengan kira-kira 500 penunjuk perasaan di Yorkshire. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI