SHAH ALAM – Pembinaan menara SkyCity di i-City di sini akan menjadi mercu tanda dan tarikan baharu dalam menarik pelancong ke Selangor.
Menara setinggi 60 meter tersebut akan dihiasi dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) dengan gelongsor kaca sepanjang 600 meter dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada 11 Disember ini untuk menyambut ulangtahun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan data ketika ini menunjukkan i-City adalah tarikan utama pelancongan bagi daerah ini.
Katanya, i-City menjadi contoh bandar yang lestari dan moden yang dilengkapi dengan penempaan, kawasan rekreasi, kemudahan beli belah dan pusat komersial.
“SkyCity akan menjadi satu produk baharu dengan penduduk akan hadir sebagai pelancong dan menginap sehari atau semalam seperti mana dalam pengertian maksud pelancongan.
“Saya difahamkan kos bagi pembinaan menara ini adalah sebanyak RM15 juta. Jadi, saya berharap dengan aktiviti dicipta dengan pembinaan menara ini akan menambah pelancong setempat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pecah a tanah bersama Pengerusi i-City Selangor, Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin.
Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan bahawa beliau menjadi saksi terhadap pertumbuhan pesat pembangunan di i-City sejak 2008.
“Ini daripada kawasan yang dianggap tiada masa depan dan sekarang menjadi pusat tarikan dan aktiviti bukan sahaja di Selangor malah di negara ini amnya.
“Justeru, produk pelancongan seperti SkyCity adalah penting untuk menggerakan sektor perkhidmatan pelancongan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Shah menjelaskan pihaknya yakin i-City akan menarik lima juta pelancong dari seluruh dunia tahun depan.
“Ini akan menyumbang secara signifikan kepada kejayaan Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan tujuh juta pelancong,” katanya. -KOSMO! ONLINE