PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan institusi pendidikan awam menyertai program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HITS) yang telah diperkenalkan pada 2013 lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, skim berkenaan akan menggalakkan murid kurang berkemampuan dapat menikmati makanan seimbang dan sihat di sekolah.
Katanya, pada ketika ini hanya sejumlah 210 sekolah daripada keseluruhan 10,220 buah institusi pendidikan awam di seluruh negara menyertai HITS.
“Program ini dilakukan secara bersepadu bersama-sama Kementerian Pendidikan dengan ibu bapa sendiri menyumbang setiap bulan kepada sekolah.
“Sebahagian besar sekolah yang terlibat pula dikenal pasti di sekitar Johor dan kami amat mengalu-alukan lebih banyak lagi sekolah untuk menyertai skim makanan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari hari.
Jelasnya, Ibu bapa di sekolah terbabit, hanya perlu membayar sekurang-kurangnya RM3.50 bagi seorang murid setiap hari dengan menu ditetapkan kementerian itu adalah standard.
Makanan yang dihidangkan itu pula tambah beliau, adalah berkhasiat dan dijamin pasti digemari murid-murid untuk memastikan mereka tidak lapar sepanjang hari persekolahan.
Pelaksanaan HITS juga kata beliau, selaras dengan usaha berterusan KKM dalam menangani kes tumbesaran selain isu kekurangan zat para pelajar sekolah.
Menyentuh kajian morbiditi kebangsaan pada 2022 yang menunjukkan peningkatan 3.5 peratus kanak-kanak terbantut, Dzulkefly berkata, dengan 70 peratus penyumbang antaranya pengaruh keluarga, corak pemakanan dan status ekonomi sosial. – KOSMO! ONLINE