SIK – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sempat membisikkan dua kalimah syahadah kepada pelajar yang dihempap pokok di Kampung Charuk Sireh, di sini hari ini.
Anggota APM terbabit, Rizaidi Saad berkata, dia menyedari kejadian ketika mahu ke tempat kerja kira-kira pukul 7.20 pagi.
Katanya, dia ternampak mangsa, Muhammad Assif Md. Zahid, 17, terbaring di tengah jalan dipercayai akibat dihempap pokok durian yang tumbang tidak jauh dari rumah mangsa.
“Mangsa kelihatan lemah dan berdarah di bahagian kepala serta luka pada badan. Saya berulang kali membisikkan dua kalimah syahadah di telinga mangsa yang ketika itu masih bernyawa,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa menunggang motosikal bersendirian dengan berpakaian sukan sekolah.
“Bapa mangsa yang ketika itu berada di tempat kejadian meminta tolong untuk mengangkat anaknya untuk dibawa ke Hospital Daerah Sik sementara menunggu ambulans
“Saya mengambil sehelai kain untuk membalut tubuh mangsa sebelum mengangkatnya masuk ke dalam kereta dan saya lakukannya dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan yang dialaminya menjadi lebih teruk,” ujarnya.
Tambahnya, orang awam sepatutnya tidak boleh mengangkat mangsa kemalangan sesuka hati, namun tindakannya itu adalah di atas permintaan bapa mangsa.
“Saya terpaksa lakukan juga dan menemani bapa mangsa sehingga ke hospital,” ujarnya.
Tambahnya, arwah tidak bergerak, namun masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di hospital. – KOSMO! ONLINE