DHAKA – Persatuan polis utama Bangladesh hari ini menyatakan bahawa anggotanya melancarkan mogok, sehari selepas protes yang cuba ditangani mereka menggunakan kekerasan, akhirnya menggulingkan Perdana Menteri.
“Sehingga keselamatan setiap anggota terjamin, kami mengisytiharkan mogok,” kata Persatuan Polis Bangladesh dalam satu kenyataan yang mewakili beribu-ribu pegawai polis.
Kenyataan tersebut turut menawarkan permohonan maaf atas tindakan polis terhadap penunjuk perasaan.
“Kami memohon maaf atas apa yang dilakukan oleh pasukan polis terhadap pelajar yang tidak bersalah,” tambah kenyataan sama.
Ia turut berhujah bahawa anggota-anggota polis ‘dipaksa’ melepaskan tembakan, dan mereka telah digambarkan sebagai ‘orang jahat’.
Ketua tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan petang semalam bahawa Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan, manakala tentera akan membentuk kerajaan sementara.
Hasina, 76, berkuasa sejak 2009 tetapi dituduh menipu pada pilihan raya Januari lalu.
Sementara itu, Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin membubarkan Parlimen pada hari ini.
Ia merupakan tuntutan utama penunjuk perasaan pelajar yang mengetuai demonstrasi yang menggulingkan Hasina.
“Presiden membubarkan Parlimen,” kata Setiausaha Akhbar Mohammed Shahabuddin, Shiplu Zaman dalam satu kenyataan. – AFP