MIRI – Anggota polis bersama-sama enam ahli keluarganya berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 7.10 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral telah digerakkan ke lokasi.
“Sesampai kami di lokasi mendapati kebakaran berlaku di tingkat 3 yang terbakar 80 peratus. Kesemua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri dan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, beliau berkata pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE