PUTRAJAYA – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 perlu menerapkan elemen kenegaraan dan ketenteraan bagi melahirkan generasi muda berdisiplin, berdaya kreatif, tahan cabaran dan lebih matang.
Pensyarah Jabatan Undang-undang, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mizan Muhammad berkata, sebagai pensyarah, beliau mendapati tahap kematangan generasi muda masa kini amat membimbangkan.
Beliau berkata, kaji selidik oleh Intelligent.com melibatkan pandangan 1,242 pemimpin perniagaan terhadap graduan masa kini di Amerika Syarikat (AS) mendapati sebahagian graduan di negara itu tidak berdisiplin dan tidak bersedia memasuki alam pekerjaan.
“Pada tahun sama, pandangan sama turut dikongsikan Presiden Purdue University, AS, yang menyimpulkan bahawa alam pendidikan tinggi tidak benar-benar menyediakan graduan berdepan dengan kehidupan lebih mencabar.
“Sekali pun laporan dan pandangan itu dilakukan dengan melihat keadaan pelajar di AS, ia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan realiti di Malaysia,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, beliau mengakui bahawa keupayaan mahasiswa untuk bertindak secara matang dan mandiri adalah sesuatu yang tidak boleh diajar di dalam bilik kuliah secara formal sebaliknya ia hadir dengan pendedahan dan pengalaman hidup.
Justeru, katanya, PLKN mesti disusun agar mereka menjalani latihan atau program pengembangan potensi diri dengan cara yang merentas disiplin pengajian.
“Jika tidak, kita akan terus menyaksikan generasi mahasiswa yang lesu, berfikiran sempit, memberontak tanpa asas yang jelas serta mudah terpengaruh dengan aliran hidup yang tidak matang dan bermanfaat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE