PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf daripada Meta Platforms Inc (Meta) berhubung isu penurunan kandungan daripada akaun Facebook dan Instagram baru-baru ini.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan juga mahu supaya isu sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri hari ini dan beliau sendiri mengambil maklum mengenai permintaan maaf daripada Meta.
“Malah, Perdana Menteri memaklumkan sahabat-sahabat beliau termasuk di Timur Tengah sudah membaca berita tersebut. Ia (permohonan maaf Meta) bermaksud sudah sampai ke seantero dunia,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.
Fahmi memberitahu, pada pertemuan dengan wakil Meta semalam, beliau meminta syarikat itu berhubung terus dengan Pejabat Perdana Menteri untuk memberi maklumat terkini mengenai garis panduan hantaran sekiranya terdapat perubahan.
Selain itu, Fahmi juga meminta supaya Meta memastikan Perdana Menteri diberikan taraf serupa dengan ketua kerajaan lain di seluruh dunia.
Ditanya sama ada kerajaan berpuas hati dengan penjelasan Meta, Fahmi memaklumkan, beliau difahamkan Meta mempunyai satu badan bebas yang bertanggungjawab meneliti aduan atau rayuan terhadap mana-mana kandungan diturunkan. – KOSMO! ONLINE