fbpx

Pemandu bas, treler ambil dadah membimbangkan – Anthony

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika sidang media pada Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa Gombak di sini hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

GOMBAK – Penglibatan pemandu bas persiaran dengan dadah amat membimbangkan apabila ramai dalam kalangan mereka didapati masih menggunakan bahan khayal itu ketika bertugas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia terbukti apabila 39 pemandu bas persiaran, bas ekspres dan pemandu kenderaan perdagangan didapati positif dalam operasi sejak 2 Julai hingga Ahad lalu.

Mereka dikesan dalam Operasi Khas Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam serta Operasi Khas Kenderaan Perdagangan.

Daripada jumlah itu, 21 adalah pemandu yang ditahan sepanjang empat hari Operasi Khas Kenderaan Perdagangan.

Katanya, operasi ini memfokuskan kepada kenderaan perkhidmatan barangan, kenderaan perkhidmatan awam berkaitan kesalahan teknikal, kesalahan lalu lintas dan kesalahan-kesalahan utama bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

“Hasil daripada Operasi Khas Kenderaan Perdagangan dalam statistik 1 hingga 5 Ogos, seramai 21 orang pemandu dikesan positif dadah hasil daripada pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap 276 orang pemandu kenderaan perdagangan.

“Ini bermakna dalam setiap 13 orang pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas iaitu memandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidwatan Awam di Stesen Penguatkuasaan JPJ Gombak di sini, hari ini.

Sementara itu, seramai 26 pemandu bas persiaran dan bas ekspres didapati positif dadah sepanjang Operasi Khas Kendaraan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam sejak 2 hingga 31 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan daripada 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, seramai 26 pemandu telah positif dadah.

“Sementara itu, sebanyak 19,456 kenderaan diperiksa; 667 diambil tindakan; 14 buah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seterusnya, sebanyak 1,600 notis mengikut JPJ P22, Seksyen 61 (1) Seksyen 59 dan lain-lain,” katanya

Sehubungan itu, beliau menegaskan JPJ tidak berkompromi dengan pemandu-pemandu yang tidak kompeten dalam mengendalikan kenderaan-kenderaan perdagangan dan perkhidmatan
awam.

“Pemandu-pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang didapati positif dadah boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 36 iaitu kuasa untuk menggantung lesen memandu penagih dadah.

“Syarikat pengangkutan yang terbabit juga akan diambil tindakan penguatkuasaan yang tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat yang boleh membawa kepada penggantungan dan pembatalan lesen pengendali.

“Semua pemilik dan pemandu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari semasa ke
semasa bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI