fbpx

Olimpik Paris: Sedia cuba lagi di LA2028

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik muncul pemenang pingat pertama negara selepas menyumbang gangsa dalam acara beregu lelaki kelmarin. - AFP

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih belum mahu mengibar bendera putih bagi memburu pingat emas Olimpik apabila memberi bayangan untuk terus menggalas tanggungjawab pada temasya di Los Angeles 2028 (LA2028) nanti.

Cabaran itu dilaungkan Aaron apabila menjelaskan, dia dan Wooi Yik akan melakukan persiapan seawal tahun depan dalam usaha melayakkan diri buat kali ketiga berturut-turut ke temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Sebelum memulakan persiapan ke arah LA2028, bekas juara dunia itu terlebih dahulu mahu memberikan fokus terhadap baki saingan musim ini, termasuk melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China Disember nanti.

“Apabila pulang daripada Olimpik nanti, mungkin kami akan bercuti beberapa hari selepas dua bulan bekerja keras melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Olimpik Paris. Kemudian, kami akan kembali berlatih untuk mengharungi baki saingan musim ini.

“Selepas itu, barulah kami akan mula menyusun perancangan selain melakukan persiapan pada awal tahun depan jika mahu melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik LA2028,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik dijangka menyertai beberapa kejohanan Jelajah Dunia termasuk Terbuka Jepun pada 20 hingga 25 Ogos, Terbuka Korea (27 Ogos hingga 1 September) serta Terbuka China (17 hingga 22 September).

Kelmarin, beregu No. 3 dunia itu menyumbang pingat pertama negara di Olimpik Paris selepas memenangi pingat gangsa menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada aksi penentuan pingat gangsa.

Kemenangan yang diraih membuktikan mereka memiliki api perjuangan cukup besar dalam diri masing-masing apabila bangkit mencatat kemenangan biarpun hampir tewas ketika ketinggalan 16-20 di set kedua.

Kata Wooi Yik, dia langsung tidak memikirkan mengenai kekalahan ketika berada di mata akhir 20-19 pada set penentuan kerana menaruh sepenuh kepercayaan mereka mampu untuk menamatkan perlawanan sebagai pemenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI