KONTINJEN negara menamatkan penantian pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencatat kemenangan dalam aksi penentuan pingat gangsa malam kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris, bekas juara dunia itu menunjukkan semangat juang cukup tinggi apabila bangkit mencatat kemenangan 16-21, 22-20, 21-19 ke atas beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Tidak siapa menyangka beregu No. 3 dunia itu mampu mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Olimpik Tokyo 2020 ketika mereka ketinggalan 16-20 di set kedua sebelum bangkit menang 22-20 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, kekuatan mental menjadi senjata utama beregu No.3 dunia itu bagi menghadirkan kilauan pingat pertama negara pada temasya sukan terbesar dunia berkenaan.
“Gangsa ini kita menang tetapi kita sedar mereka (Denmark) pandai curi mata dalam perlawanan kerana status mereka sebagai senior. Ketika ketinggalan 16-20 set kedua, kita masih fokus dalam perlawanan.
“Jika dibandingkan dengan perlawanan-perlawanan terdahulu, saya fikir mereka (Aaron-Wooi Yik) pamerkan kualiti paling tinggi aksi ini. Mereka tunjukkan mental yang kuat untuk dapatkan pingat ini,” katanya.
Sebagai rekod, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Ng Boon Bee-Punch Gunalan kekal menjadi gandingan paling hampir memenangi pingat emas Olimpik apabila masing-masing pernah meraih perak.
Dalam pada itu, Bin Shen menjelaskan, beliau akan mempersiapkan Aaron-Wooi Yik dalam usaha melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China Disember nanti selain percaya persediaan ke Olimpik Los Angeles (LA) 2028 perlu bermula awal tahun depan.