LONDON – Ketua Pasukan McLaren, Andrea Stella menegaskan skuadnya memberi perhatian khusus terutama kepada masalah yang dihadapi oleh Lando Norris selepas gagal menjelmakan kemenangan biarpun memulakan perlumbaan di petak utama.
Stella yang kekal mengemudi pasukan itu untuk beberapa tahun lagi mengakui pihaknya akan mengkaji lebih mendalam terutama melakukan ‘bedah siasat’ bagi melihat data-data terkumpul supaya dapat mengesan punca utama kegagalan Norris mencipta kemenangan.
Sewaktu di Grand Prix (GP) Belgium awal bulan lalu, Norris memulakan perlumbaan di tempat keempat tetapi jatuh ke kedudukan ketujuh selepas selekoh pertama.
Kejadian sama dialami sewaktu GP Sepanyol pada Jun lalu di mana Norris memulakan saingan dari tempat pertama sebelum bertukar ke kedudukan ketiga selepas pusingan pertama.
Kesilapan paling ketara berlaku dalam perlumbaan sprint GP China pada April lalu apabila Norris jatuh ke tempat ketujuh selepas pusingan kedua biarpun bermula dari grid pertama.
Justeru, Stella menjelaskan McLaren akan bekerjasama dengan Norris supaya dapat mengenal pasti peluang untuk melakukan yang lebih baik dalam situasi-situasi berkenaan.
“Saya rasa Norris sedikit terganggu dengan apa yang berlaku di bahagian dalam dan juga sewaktu terkeluar dari trek perlumbaan.
“Saya fikir ia memerlukan sedikit pelarasan. Sudah pasti kami bekerjasama dengan Norris seperti kami bersama Oscar (Piastri) untuk cuba dan melibat semua peluang boleh membantu mengatasi masalah tersebut.
“Kerjasama ini dapat memberi elemen penting untuk analisis bagaimana peluang-peluang seperti ini dapat digunakan sebagai mungkin ke arah satu keputusan terbaik.
“Saya rasa dia dalam posisi terbaik tetapi kemudian kami hilang kedudukan selepas dipintas pelumba lain. Jadi situasi itu memberi masalah kepada kami,” katanya. – AGENSI