fbpx

Liza Hanim ralat tak sempat jumpa Allahyarham Jay Jay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Liza Hanim terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan Allahyarham Jay Jay sewaktu penyanyi itu terlantar di hospital. – MOHD. FIRDAUS JOHARI

KUALA LUMPUR – Penyanyi Liza Hanim meluahkan rasa terkilan tidak sempat menziarahi Allahyarham Jay Jay ketika terlantar di hospital sebelum ini.

Kata Liza atau nama lengkapnya Haliza Hanim Abdul Halim, 45, kali terakhir dia berjumpa penyanyi lagenda terbabit adalah sekitar tahun lepas dalam sebuah majlis.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah pada tahun lepas dalam majlis Gegar Vaganza. Bila dapat tahu dia sakit memang ada rancangan nak ziarah tetapi tak sempat sebab terikat dengan jadual kerja.

“Rasa ralat juga tetapi nak buat macam mana sudah tiba masanya,” katanya ketika sidang media Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.

Terkesan dengan pemergian Allahyarham Jay Jay, pelantun lagu Siapa Sangka Siapa Menduga itu menyifatkan arwah bukan sahaja seperti seorang abang, bahkan insan yang sangat menghargai nilai persahabatan.

Berkongsi pengalaman Liza terkejut Allahyarham Jay Jay pernah meraikan ulang tahun kelahirannya ketika mereka menjayakan sebuah persembahan sekitar 20 tahun lalu.

“Persembahan itu berlangsung pada hari ulang tahun kelahiran saya. Selepas majlis selesai, saya keluar makan sekejap, rupa-rupanya arwah datang ke depan pintu bilik untuk beri kejutan.

“Dia bawa sebiji kek tetapi saya pula tiada ketika itu di bilik. Maka dia tinggalkan kek tersebut di lobi hotel. Bila saya balik, terkejutlah saya.

“Saya hubungi dia dan minta maaf. Itu adalah kenangan terindah yang saya ingat. Tak sangka ingatannya sampai ke tahap itu sedangkan saya tak pernah minta pun dia belikan kek,” ujarnya yang meminati lagu Joget Angan Tak Sudah nyanyian Allahyarham.

Dalam masa sama, Liza menyatakan sangat mengagumi keperibadian Allahyarham yang penuh adab.

“Dia tak perlu nak berikan nasihat atau tip. Cukup sekadar kita melihat pelakuannya dan tingkah lakunya sudah cukup dijadikan contoh.

“Dia sebagai seorang abang dan lebih tua daripada kita tetapi cara dia melayan kita walaupun pangkat adik, kita pula yang rasa segan,” jelasnya lagi.

Jay Jay meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam kelmarin akibat komplikasi kegagalan organ dalaman.

Pada 23 Mei lalu, Allahyarham menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Jun lalu, dia mengalami lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar.

Jay Jay yang juga bekas penyanyi kumpulan Carefree aktif menyanyi sejak era 1970-an dan popular dengan lagu Rindu Bayangan, Joget Angan Tak Sudah, Cukuplah Sekali dan Kenangan Taman Cinta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI