PETALING JAYA – Meskipun sudah meraih kemenangan lebih 12 jam, nama pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kekal sohor di laman X dengan berada pada kedudukan pertama sejak semalam.
Zii Jia berjaya menundukkan pemain India, Lakshya Sen 13-21, 21-16, 21-11 sekali gus menyumbang pingat kedua untuk negara sempena sukan Olimpik Paris 2024 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Paris malam tadi (waktu Malaysia).
Semakan Kosmo! di laman X mendapati, tanda pagar (#) Lee Zii Jia kekal ‘popular dance’ kerana terus menjadi topik utama dalam kalangan rakyat Malaysia apabila meraih lebih 1.68 juta ciapan setakat pukul 2.50 petang ini.
Antara momen-momen indah dikongsikan pengguna X berkaitan Zii Jia adalah sewaktu pemain tersebut menangis menceritakan dugaan serta halangan yang perlu beliau lalui sebelum berjaya menempa nama menaiki podium Olimpik Paris 2024.
Turut ‘trending’ di X video Zii Jia menangis sewaktu meluahkan perasaannya apabila menjadi bualan kecaman netizen setelah gagal menewaslan pemain dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat spearug akhir, 4 Ogos lalu.
“Setiap pagi saya bangun dan menyertai sesi latihan tetapi pasti akan nampak macam-macam berita keluar pasal nama saya. Saya tertanya-tanya apa salah yang saya dah buat,” katanya dengan nada sebak.
Bagaimanapun, sehingga kini ramai yang mengucapkan terima kasih kepada pemain berusia 26 tahun itu kerana telah berjaya mengecapi pingat gangsa dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. – KOSMO! ONLINE