KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Timbalan Ketua Polis Negara baru-baru ini tidak benar sama sekali.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengesan satu laporan berita daripada sebuah portal dalam talian mengenai dakwaan perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM.
Menurutnya, PDRM ingin menegaskan bahawa pasukan itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara tersebut.
“Pihak Bukit Aman telah menghubungi portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan dalam laporan berita itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Razarudin, semua pihak diminta supaya tidak memetik sumber yang tidak rasmi terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa Bukit Aman dikatakan merancang rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan tertingginya.
Antara pegawai yang terlibat dalam rombakan itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Portal berita itu juga dipetik berkata, kedua-dua pegawai kanan tersebut didakwa akan ditukarkan ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan sebagai Ketua Pengarah.-KOSMO! ONLINE.