SEOUL – Sebuah kereta elektrik Mercedes-Benz meletup dan terbakar selepas diletakkan di tempat letak kenderaan, di tingkat bawah tanah sebuah apartmen selama hampir tiga hari, kata polis semalam.
Agensi berita Yonhap melaporkan, kebakaran misteri itu memusnahkan tempat letak kenderaan di tingkat bawah tanah apartmen itu di Incheon, barat Seoul.
Dalam kejadian itu, sebanyak 40 kenderaan di kawasan berhampiran turut musnah.
Kira-kira 100 kereta lain pula mengalami kerosakan kurang serius.
Lebih 20 penduduk dihantar ke hospital kerana terhidu asap sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya lebih lapan jam selepas kebakaran bermula.
Asap tebal telah menyukarkan anggota-anggota bomba untuk memasuki kawasan parkir berkenaan.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan asap berkepul-kepul keluar dari kereta Mercedes itu sebelum ia tiba-tiba meletup dan terbakar.
Menurut polis, pemilik kereta berkenaan berusia dalam lingkungan 40-an. Dia meletakkan keretanya tanpa menghidupkan enjin selama hampir tiga hari.
Polis dan pasukan forensik memeriksa kenderaan itu semalam dan akan mengumpulkan komponen kereta untuk dianalisis. – AGENSI