fbpx

Kerajaan tiada hasrat bangun platform media sosial sendiri – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhasrat membangunkan platform media sosial sendiri ketika ini biarpun terkilan dengan isu berat sebelah dilakukan penyedia platform sosial gergasi, Meta Platforms Inc (Meta) baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bukanlah menjadi keutamaan bagi kerajaan buat masa ini.

Beliau berkata, pihaknya akui kos membina platform media sosial sangat tinggi dan keutamaan kerajaan adalah menyelesaikan isu-isu lain yang lebih utama seperti sekolah daif.

“Kita tahu untuk mewujudkan platform bagi sejumlah rakyat pada ketika ini, pihak kerajaan perlu juga menyelesaikan banyak masalah lain seperti sekolah-sekolah daif.

“Jadi saya lihat keutamaan kerajaan bukan dalam membangunkan platform media sosial bukan….bukan pada waktu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan kementerian hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak melarang mana-mana pihak termasuk swasta di negara ini yang berhasrat membangunkan platform itu.

Dalam pada itu, Fahmi mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak akan menutup atau menyekat platform media sosial susulan beberapa isu sekatan dan penurunan kandungan terutama membabitkan hantaran di Facebook oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI