PUTRAJAYA – Kekuatan ekonomi domestik dan langkah-langkah diambil Kementerian Kewangan (MoF) disifatkan menjadi antara faktor utama dalam usaha mengukuhkan kekuatan ringgit, sekali gus meletakkan mata wang negara pada tahap memberangsangkan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan ringgit ketika ini juga dilihat pada tahap memberangsangkan, meskipun keadaan geopolitik dunia berada tahap kurang positif sejak akhir-akhir ini.
“Kalau kita lihat angka-angka, tetapi kenyataannya tidak boleh dimungkiri iaitu kekuatan ringgit ketimbang 14 tahun lalu sangat membanggakan.
“Tentu ada sebab dan faktornya, kenapa ada keyakinan? Kerana ada kekuatan ekonomi domestik, langkah-langkah diambil, jadi ini kalau tonggaknya, tentulah keluarga Kementerian Kewangan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata,keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang disifatkan sebagai langkah tidak popular juga membantu meningkatkan keyakinan pelabur ke negara ini.
“Maknanya kalau hendak melabur, saudara tahu dasar itu bertanggungjawab.
“Maknanya tidak ada ketirisan dan bila ada Akta Tanggungjawab Fiskal, penyasaran subsidi ayam dan tarif elektrik menyebabkan orang tahu ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab serta bersedia mengambil tindakan tidak popular untuk selamatkan ekonomi negara,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga dapat menjimatkan lebih RM4 bilion ekoran tindakan tegas dalam melaksanakan program penyasaran subsidi.
“Saya tidak faham kenapa orang politik pertahankan penyeludupan, kenapa izinkan ketirisan berbilion ringgit. Tetapi untuk menolak prinsip penyasaran subsidi, itu tentunya kurang bijak dan waras.
“Pertama kita setujua ketika dalam kerajaan kerana tidak ada pilihan, kedua jangan lindungi penyeludup, perasuah dan ketirisan berterusan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE